Ramai mak ayah tak sedar, anak mereka sebenarnya adalah CCTV paling canggih di dunia!
- Admin
- Aug 28
- 2 min read

Ramai mak ayah tak sedar, anak mereka sebenarnya adalah CCTV paling canggih di dunia!
Mereka tengok, mereka rekod, mereka simpan. Dan satu hari nanti, mereka akan ulang semula apa yang mereka nampak depan mata.
Yang paling banyak diperhatikan? Ayah. Cara ayah bercakap, cara ayah layan mama, cara ayah bantu di rumah. Semua tu jadi rujukan utama. Anak lelaki belajar bagaimana jadi suami dan ayah nanti. Anak perempuan pula belajar bagaimana seorang wanita patut dihargai.
Kalau hari ini ayah rajin tolong mama di dapur, esok lusa anak lelaki akan terbiasa buat perkara yang sama. Kalau ayah hanya pandai meninggi suara, anak lelaki akan fikir itu normal. Dan anak perempuan pula akan fikir itu yang dia patut terima daripada seorang lelaki.
Sebab tu mak ayah kena sedar, rumah adalah universiti pertama untuk anak. Apa yang kita buat hari ini mungkin tak nampak kesannya sekarang, tapi bila mereka dah besar, bila mereka mula bina keluarga sendiri, barulah kita nampak hasilnya.
Beberapa perkara kecil yang jadi contoh besar pada anak:
1. Ayah yang ringan tulang membantu akan melahirkan anak yang suka menolong.
2. Ibu yang bahagia akan melahirkan anak yang stabil emosinya.
3. Suasana rumah yang penuh kasih sayang akan melahirkan anak yang yakin dan mudah membahagiakan orang lain.
4. Pasangan yang saling menghormati akan membentuk anak yang tahu erti hormat sejak kecil.
Anak bukan belajar dari nasihat panjang berjela, tapi dari tingkah laku seharian yang mereka nampak depan mata.
Jangan kedekut untuk senyum pada pasangan. Jangan takut untuk ucap terima kasih. Jangan malu untuk tunjukkan kasih sayang. Sebab kebahagiaan pasangan bukan sekadar untuk dia seorang, tapi ia akan merebak pada anak, keluarga, bahkan pada diri kita sendiri.
Kalau rumah kita penuh kasih, anak-anak kita akan bawa kasih itu ke mana saja mereka pergi. Dan bila mereka dewasa, mereka akan ulang balik apa yang mereka rakam sejak kecil.
Brainy Bunch




Comments